Khairuddin bukan lagi AJK PAS Pusat – Hadi

Khairuddin bukan lagi AJK PAS Pusat – Hadi

DATUK Dr Mohd Khairuddin Aman Razali bukan lagi Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS pusat apabila digugur daripada jawatan berkenaan.

Perkara itu disahkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini, sekali gus menjawab persoalan yang bertiup sejak malam tadi.

Menurut Abdul Hadi, pengguguran mana-mana pemimpin adalah lumrah dalam PAS sama ada diberhentikan atau ditukarkan.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat PAS yang diadakan di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur, kelmarin.

“Urusan itu dikendalikan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Mestilah ada alasan (digugurkan), dalam parti kita ada disiplin. Siapa yang tidak ikut (disiplin), dia boleh ditukarkan jawatan, bertugas di tempat lain, digantung keahlian atau boleh dipecat,” katanya ketika kepada media selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Hadi enggan mengulas lanjut punca sebenar bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu disingkirkan.

Pada 23 November lalu, Mohd Khairuddin merupakan antara tiga pemimpin tertinggi PAS yang dilantik semula sebagai AJK PAS bagi sesi 2021-2023 selepas tewas dalam pemilihan parti di samping Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Terdahulu, Mohd Khairuddin dalam hantaran di laman Facebook malam tadi turut memberi bayangan mengenai perkembangan yang berlaku terhadapnya itu.

Katanya, perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam masyarakat kerana manusia mempunyai akal dan ilmu berlainan yang menghasilkan sudut pandang berbeza.

“Tinggal lagi adalah adab dalam berbeza pendapat dan bagaimana menguruskan perbezaan yang boleh menyuburkan lagi sesuatu perbincangan,” katanya. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen