Menang di PRN Johor bergantung pada sains, data – Zahid

Menang di PRN Johor bergantung pada sains, data – Zahid

TAHAP keyakinan Umno untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor jika diadakan dalam waktu terdekat adalah berdasarkan sains dan data terlebih dahulu.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata oleh itu sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diadakan, Umno tidak boleh menyatakan keyakinan untuk menang atau sebaliknya.

“Tetapi saya fikir rakyat tentu mahu keputusan yang lebih baik daripada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu,” katanya kepada media hari ini.

Mengulas berkenaan persediaan parti itu menghadapi PRN Johor, Ahmad Zahid berkata, Umno akan mematuhi semua arahan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata, kesiapsiagaan Umno boleh dilihat dengan atur gerak jentera menerusi beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN yang lalu.

Terdahulu, desas desus berkenaan PRN Johor semakin kuat dan dikatakan bakal diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad digesa segera memberi kata putus sama ada PRN Johor akan diadakan dalam masa terdekat atau sebaliknya.

Pada 25 Disember lalu, kerajaan Johor diketuai Umno dan disokong Perikatan Nasional (PN) memaklumkan akan memantau keadaan semasa termasuk keperluan mengadakan PRN berikutan hanya mempunyai kelebihan satu kerusi di DUN.

Hasni berkata beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memaklumkan kedudukan kerajaan negeri yang ketika ini mempunyai majoriti amat tipis dan dikhuatiri bertambah tidak stabil. -Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen