Muslim tidak boleh bersihkan rumah ibadat agama lain

Muslim tidak boleh bersihkan rumah ibadat agama lain

SEORANG Muslim tidak boleh melibatkan diri dalam kerja gotong royong membersihkan rumah ibadat agama lain.

Menerusi hantaran Facebook Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan hari ini, menjelaskan, hal ini kerana ia dibimbangi boleh menjerumuskan seseorang itu ke dalam kategori membantu ke arah kesyirikan yang jelas dilarang dalam Islam.

“Namun hal ini tidak sama sekali menegah kita daripada menunaikan hak kemanusiaan lain dengan membantu non-Muslim yang terkesan dengan sebarang musibah atau yang memerlukan bantuan melalui cara lain.

“Antaranya dengan membersihkan rumah kediaman dan harta benda mereka serta menghulurkan bantuan kewangan dan barang keperluan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu bagi menjawab persoalan tentang hukum seorang Muslim terlibat dalam membersihkan rumah ibadat agama lain.

Contohnya seperti yang tular baru-baru ini di mana sekumpulan pelajar terlibat membersihkan sebuah kuil yang terkesan akibat banjir yang melanda negara.

Menurut kenyataan itu, asas hubungan antara Muslim dan non-Muslim ialah pelaksanaan tanggungjawab dan memberi hak yang wajib diberikan dan dibenarkan dan membentuk suasana yang damai. Firman Allah SWT dalam al-Qur’an:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّالْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Allah tiada melarang kamu untuk berlaku baik dan berbuat adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak mengusirmu dari negerimu”. Surah Al-Mumtahanah (8)

Perbezaan agama tidak menghalang kita daripada berbuat baik kepada sesiapa sahaja atas dasar kemanusiaan.

Namun demikian, Islam juga menggariskan batas-batas yang perlu dijaga dan dijadikan sempadan bagi memelihara kesucian akidah kita. – Malaysiapost

Komen