PRN Johor: PAS tunggu dan lihat

PRN Johor: PAS tunggu dan lihat

PAS mengambil pendekatan tunggu dan lihat meskipun desas-desus semakin kuat berkenaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, partinya akan mula bertindak sebaik sahaja Dewan Undangan Negeri Johor terbubar.

“Tunggu dia bubar (DUN) dulu. (Baru) keputusan akan diambil,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, sekiranya PRN tetap diadakan PAS sudah pasti akan mencalonkan calon-calon mereka seperti mana pilihan raya sebelum- sebelum ini.

“PAS akan bertanding. (PRN) Sarawak pun kita bertanding. Johor ni dekat lagi. PAS akan bertanding. Macam mana cara bertanding kita akan lihat dari masa ke semasa,” katanya.

Ditanya sejauh mana PAS sudah memulakan perbincangan berhubung situasi politik terkini di Johor, Abdul Hadi menjelaskan, pihaknya tidak mengadakan apa-apa perbincangan kerana perkara itu hanya sekadar khabar angin.

“Sehingga ini kita tak bincangkan kerana benda belum berlaku. Hanya khabar angin,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan dibubarkan esok serta kesediaan PAS menentang Umno dalam pilihan raya negeri berkenaan.

Pada 25 Disember lalu, kerajaan Johor yang diketuai Umno dan disokong Perikatan Nasional (PN) memaklumkan akan memantau keadaan semasa termasuk keperluan untuk mengadakan PRN berikutan hanya mempunyai kelebihan satu kerusi di DUN.

Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad, berkata dia akan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memaklumkan tentang kedudukan kerajaan negeri yang ketika ini mempunyai majoriti yang amat tipis dan dikhuatiri bertambah tidak stabil. -Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen