Shahrir sindir Annuar tak hadir mesyuarat MKT tapi serba tahu

Shahrir sindir Annuar tak hadir mesyuarat MKT tapi serba tahu

VETERAN Umno Tan Sri Shahrir Abd Samad menyindir Tan Sri Annuar Musa yang didakwa ‘serba tahu’ selari dengan jawatan yang disandangnya ketika ini sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Shahrir turut mempersoalkan bagaimana Annuar yang bukan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) boleh memberi kenyataan seolah-olah beliau hadir dalam mesyuarat MKT Umno itu.

“Hanya TS Annuar, walaupun menteri, tidak hadir di mesyuarat MT tersebut. Tapi, sebagai menteri yang jaga ‘multi-media’, kot-kot dia mempunyai maklumat sahih tentang mesyuarat yang dia sendiri tidak menghadirinya.

“Bila buka portal Malaysia Gazette, terperanjat saya melihat terpampang kenyataan ‘Masalah 404’!,” katanya di Facebook.

Sebelum itu, Shahrir menjelaskan, beliau tertarik laporan media mengenai butiran mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam kelmarin yang kononnya ada menyentuh calon Perdana Menteri daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Sebagai pemimpin Umno di peringkat bahagian, tentunya setiap keputusan parti ditunggu, dibaca dengan teliti supaya difahami benar-benar.

“Setelah membaca kenyataan akhbar berikutan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Malaysia tempoh hari, saya tertarik pula dengan laporan Malaysia Gazette bahawa MKT telah mengesahkan atau membuat ‘endorsement’ sebagai calon BN untuk jawatan PM semasa PRU15.

“Saya pun terus membuka Malaysia Gazette untuk membaca berita itu. Ianya senada dengan apa yang ditulis oleh TS Annuar Musa dalam halaman FBnya,” katanya di Facebook, hari ini.

Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru dalam nada sindirian berkata, selepas ini beliau akan terus membaca sebarang kenyataan Annuar di akaun Facebook Ahli Parlimen Ketereh itu memandangkan laporan berita berkaitannya mungkin dipadam oleh portal yang menyiarkannya.

“Apa dah jadi ni? Jadi kalau hendak baca lagi lanjut, kenalah saya ke halaman FB TS Annuar. Di situ pula, komen pelawat-pelawat kenalah kita baca dengan sabar,” katanya. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen