Tanggungjawab pemimpin perkasa perpaduan MN – Khairuddin

Tanggungjawab pemimpin perkasa perpaduan MN – Khairuddin

MENJADI tanggungjawab pemimpin PAS dan Umno memperkasa dan menyuburkan perpaduan yang berjaya dibina menerusi Muafakat Nasional (MN).

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata ia kerana perpaduan antara umat Islam dari dua kelompok besar melebihi empat juta ahli itu pada hukum syaraknya adalah wajib diusahakan, bukannya sunat.

“Muafakat Nasional yang dimeterai pada 14.9.2019 telah berjaya mendamaikan dua kelompok umat Islam Melayu yang “berperang” lebih 41 tahun sejak 1978 kerana politik. Ramai yang menangis kesyukuran kerana perpaduan ini.

“Ia bukan isu perpaduan pemimpin kerana pemimpin politik meskipun bergaduh masih boleh duduk semeja makan dan minum senyum dan tawa, tetapi ia melibatkan hubungan ahli marhaen yang lurus dan tulus dengan parti masing-masing,” katanya dalam hantaran Facebook.

Mohd Khairuddin yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) berkata, pihak yang sengaja berniat merosakkan perpaduan MN pastinya mempunyai agenda tersendiri.

“Mereka yang cuba merobohkan perpaduan ahli dua parti Melayu Islam tentulah mereka yang berkepentingan diri dan berhawa nafsu duniawi bukan demi kepentingan umat,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Mohd Khairuddin bukan lagi Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS pusat apabila digugur daripada jawatan berkenaan.

Perkara itu disahkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang menjelaskan pengguguran mana-mana pemimpin adalah lumrah dalam PAS sama ada diberhentikan atau ditukarkan.

Bagaimanapun, Abdul Hadi enggan mengulas lanjut punca sebenar bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu disingkirkan. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen