Tiada rekod penculikan di ESSZONE tahun lalu – Hishammuddin

Tiada rekod penculikan di ESSZONE tahun lalu – Hishammuddin

TIADA rekod penculikan baharu dicatatkan berlaku di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) sepanjang tahun 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien, berkata secara relatifnya kawasan ESSZONE adalah selamat dan terkawal.

“Namun begitu, ia tidak bermakna Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan mengendurkan operasinya.

“Sebaliknya, ESSCOM akan terus diperkukuh lagi dan perancangan mengenainya akan dimaklumkan kepada umum dari masa ke masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang dan akan terus memperkasa tahap pertahanan di Sabah selari dengan perbincangannnya bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor yang bermatlamat memperkukuh keselamatan negeri itu.

Katanya, secara ringkasnya terdapat lapan batalion menjaga keselamatan Pantai Timur Sabah ketika ini, di mana empat batalion beroperasi dan empat batalion berpangkalan serta siap sedia untuk tangani sebarang kemungkinan.

“Secara keseluruhannya, terdapat 8,746 anggota ATM yang berkeupayaan melaksanakan penugasan pada setiap masa demi keselamatan negeri dan rakyat Sabah.

“Bagaimanapun, saya percaya bahawa banyak lagi perlu dilaksanakan. Tiada istilah selesa dan berpuas hati dalam perjuangan ATM,” ujarnya.

Sementara itu, bagi memperkasa usaha keselamatan dan pertahanan Sabah, Hishammuddin berkata, satu kem tentera akan dibina pada tahun ini di Felda Sahabat, Lahad Datu dengan peruntukkan sebanyak RM 646,156,000.

“Antara tujuan utama pembangunan kem baharu ini adalah untuk memindahkan satu batalion infantri dan unit-unit 13 Briged sebagai usaha meningkatkan lagi tahap keupayaan dan kesiapsiagaan TDM dalam menangani ancaman semasa sekaligus mengukuhkan lagi tahap keselamatan di Pantai Timur Sabah,” katanya. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen