Tiada tuah, Liverpool pilih jalan sukar

Tiada tuah, Liverpool pilih jalan sukar

LIVERPOOL dilihat sengaja memilih jalan sukar apabila gagal mendapat kelebihan gol terhadap Arsenal dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga di Anfield, pagi tadi.

Dalam perlawanan itu, Arsenal terpaksa menempuh selama lebih sejam beraksi kekurangan seorang pemain, akhirnya mampu menarik nafas lega apabila berjaya mengikat kedudukan seri 0-0.

Bagaimanapun, The Gunners perlu membayar harga yang tinggi selepas kapten pasukan, Granit Xhaka dibuang padang kerana mengasari Diogo Jota hanya selepas 24 minit permainan.

Aksi serangan Liverpool jelas kurang tajam tanpa kelibat Mohamed Salah dan Sadio Mane terutama dalam usaha mencipta peluang bertemu lawan yang hanya beraksi dengan 10 pemain.

Pemain mempamerkan semangat dan keazaman yang tinggi selain kerjasama sepasukan. Anda sendiri dapat melihat emosi mereka. Kami tidak pernah berputus asa,” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta.

Aksi separuh akhir pertama yang sepatutnya berlangsung di Emirates minggu lalu terpaksa ditangguhkan berikutan penularan Covid-19 di kalangan pemain Liverpool ketika Chelsea sudah menunggu lawan mereka pada aksi final di Wembley bulan depan.

The Reds kehilangan khidmat Salah dan Mane kerana tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan masing-masing di Piala Negara-Negara Afrika.

Bagaimanapun Liverpool tidak berdepan masalah kecederaan dan Jurgen Klopp menyenaraikan barisan terkuat.

Xhaka kekal menjadi pilihan utama untuk Arteta di sebalik berdepan isu masalah disiplin.

Dia pastinya terlepas perlawanan separuh akhir kedua untuk membantu Arsenal layak ke peringkat final Piala Liga.

Arsenal juga mungkin kehilangan Bukayo Saka yang dilihat mengalami kecederaan di hujung perlawanan tadi. -Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen