Vaksin Meningococcal Meningitis tidak diwajibkan ketika Muhyiddin, delegasi tunai umrah

Vaksin Meningococcal Meningitis tidak diwajibkan ketika Muhyiddin, delegasi tunai umrah

TAN Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan pendakwah bebas, Abu Syafiq bahawa bekas Perdana Menteri itu dan delegasi tidak mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 atau Meningococcal Meningitis ketika mengerjakan ibadah umrah pada Mac tahun lalu.

Pegawai Khasnya, Mohd Naaim Mahmod menerusi kenyataan, berkata Muhyiddin dan semua delegasi telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 sebelum berangkat ke Arab Saudi.

Menurutnya, sekembali ke tanah air, Muhyiddin dan semua delegasi menerima suntikan kedua vaksin Covid-19, manakala vaksin Meningococcal Meningitis tidak diwajibkan.

“Pada masa itu, kerajaan Malaysia dan Arab Saudi tidak mengenakan syarat lengkap suntikan vaksin Covid-19 atau vaksin lain untuk mana-mana pengembara yang ingin melakukan perjalanan ke Arab Saudi.

“Selain itu, lawatan kerja rasmi Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 ke Arab Saudi yang diadakan atas undangan kerajaan Arab Saudi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk melakukan ujian PCR sebelum, semasa dan selepas lawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Naaim turut menjelaskan keputusan ujian saringan ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) mendapati semua delegasi adalah negative Covid-19.

Beliau berkata, pergerakan delegasi ketika lawatan ity juga dikawal ketat oleh pihak berkuasa Arab Saudi di dalam suatu gelembung perjalanan (travel bubble) yang telah ditetapkan.

Sementara itu, menerusi hantaran terbaharu di laman Instagram, Abu Syafiq memberi respon kepada kenyataan Muhyiddin dengan memaklumkan apa yang dimaksudkan adalah vaksin Meningococcal Meningitis, bukannya vaksin Covid-19.

“Saya cakap pasal vaksin MM (Meningococcal Meningitis) lah. Bukan vaksin Covid-19. Wahai Tan Sri yang disayangi. Alahai,” tulisnya.

Sebelum ini, Abu Syafiq mendakwa bekas Perdana Menteri itu serta beberapa ahli kerajaan yang lain tidak mengambil vaksin Meningococcal Meningitis ketika menunaikan umrah.

Beliau juga membuat pendedahan mengaku pergi ke tanah suci tanpa mengambil vaksin. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen