Ambil pengajaran kisah Daniel

Ambil pengajaran kisah Daniel

MASYARAKAT diingatkan supaya berhenti menilai sebelum mengetahui sesuatu isu sedalamnya, kata Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khiruddin.

Merujuk isu remaja yang mencuri wang tabung masjid, Daniel Iskandar, 19, Khairil Nizam berkata berdiam diri lebih baik daripada menyertai netizen lain berjemaah menyerang seseorang atau sesebuah insitusi tanpa usul periksa.

Menurutnya, Islam mengajar umatnya untuk bersikap washothiyyah (seimbang) dan adil dalam kehidupan serta tidak melampau-lampau dalam tindakan setiap hari.

“Bagi saya kita mestilah mengambil peluang menggunakan media sosial ini untuk mengukuhkan institusi masyarakat dan jangan menghukum tanpa mendengar cerita sebenar daripada kedua-dua belah pihak. Terlajak perahu boleh diundur tapi terlajak kata, sering memberi binasa.

“Saya menyeru kepada rakyat Malaysia untuk mengambil pengajaran daripada kisah ini. Institusi masjid dan institusi kekeluargaan adalah dua institusi yang penting dalam pembangunan ummah di negara kita.

“Semoga dengan hikmah kes adik Daniel Iskandar, datuknya yang inginkan cucunya berubah dan jemaah masjid yang memberi hukuman segera, rakyat Malaysia akan belajar untuk mendalami sesuatu perkara tanpa terus menghakimi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Beliau juga mengingatkan kepada mereka yang dalam senyap mengambil peluang ini untuk menjatuhkan imej dan kredibiliti institusi masjid secara halus, banyak mata yang sentiasa mengawasi.

“Ketahuilah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya pasti jatuh ke tanah jua,” katanya.

Semalam polis mengesahkan tindakan remaja mencuri tabung masjid dikenal pasti bertujuan bagi mendapatkan wang mendapatkan bekalan dadah, bukan untuk membeli ubat datuknya.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar.

Remaja terbabit juga didapati terlibat dengan penyalahgunaan dadah sejak kira-kira setahun lalu.

Khamis lalu, remaja yang videonya tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti ‘jenazah’ akibat cuba mencuri tabung masjid, dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya. – Malaysiapost

Komen