Isu gaji pemain MUFC selesai, PFAM hargai peranan TMJ

Isu gaji pemain MUFC selesai, PFAM hargai peranan TMJ

PERSATUAN Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menzahirkan jutaan penghargaan buat Penaungnya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim susulan keprihatinan baginda dalam hal ehwal kebajikan dan hak pemain.

Terbaharu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu turut berperanan dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain Melaka United FC (MUFC) baru-baru ini.

“PFAM ingin menzahirkan jutaan penghargaan buat Penaung kami, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, atas keprihatinan tanpa henti Tunku dalam hal ehwal kebajikan dan hak para pemain.

“Dan yang terbaru, dalam isu menyelesaikan masalah tunggakan gaji para pemain Melaka United FC.

“Terima kasih di atas usaha Tunku yang memberikan makna besar buat kami para pemain,” kata PFAM menerusi kenyataan di Facebooknya.

Baru-baru ini, TMJ menasihati Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berhubung isu tunggakan gaji pemain pasukan itu selama tiga bulan.

Menerusi tangkap layar yang dimuat naik di Instagram, TMJ menasihati Sulaiman supaya menyegerakan isu tersebut.

“Datuk, pasukan Melaka tidak bayar gaji pemain sudah tiga bulan. Tak bagus untuk imej integriti pasukan Melaka dan juga kebajikan pemain.

“Tolong selesaikan isu ini Datuk,” tulis Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menerusi satu tangkap layar yang tular di media sosial.

Semalam isu gaji tersebut selesai selepas MUFC melunaskan bayaran gaji pemain yang tertunggak selama tiga bulan. – Malaysiapost

Komen