Kertas siasatan Adun positif dadah diserah minggu depan

Kertas siasatan Adun positif dadah diserah minggu depan

KERTAS siasatan kes seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Perak yang positif dadah akan diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya minggu depan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata polis masih menunggu laporan patologi bagi tindakan selanjutnya.

“Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan dilengkapkan dan laporan patalogi diperoleh. Kita jangka kertas siasatan akan siap dan diserahkan minggu depan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Mustafa Kamal berkata, Adun berusia 54 tahun itu yang direman sehari untuk siasatan, sudah dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Katanya, dua anggota polis masing-masing dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Perak yang turut ditahan dalam serbuan sama juga sudah dibebaskan.

Semalam, media melaporkan seorang Adun dari Perak ditahan selepas ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah.

Penahanan Adun itu dibuat di sebuah pusat hiburan di Perai oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Dalam serbuan itu, 48 individu ditahan dengan 36 daripadanya berkaitan kes dadah, manakala 12 lagi berkaitan kes jenayah.

Terdahulu hari ini, DAP Perak memandang serius wakil rakyatnya terpalit dalam penyalahgunaan dadah sekali gus menuntut penjelasan Adun Pasir Pendamar, Terence Naidu berhubung perkara itu.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata kepimpinan parti di peringkat negeri dan pusat mahu Terence memaklumkan situasi sebenar berhubung penahanannya di sebuah pusat hiburan di Pulau Pinang. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen