Pengurusan masjid jangan ambil tindakan sendiri – Idris Ahmad

Pengurusan masjid jangan ambil tindakan sendiri – Idris Ahmad

PERBUATAN orang ramai termasuk pengurusan masjid mengambil sebarang bentuk hukuman sendiri terhadap orang yang disyaki melakukan kesalahan adalah amat tidak wajar. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata pengurusan masjid sewajarnya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Namun Idris menegaskan, perbuatan mencuri atas apa alasan sekalipun dilarang dalam Islam dan pesalah wajar dihakimi seadil-adilnya.

Idris turut menasihati orang ramai termasuk pihak pengurusan masjid agar tidak terjebak dengan sentimen tertentu atau cuba mengambil tindakan sendirian sehingga boleh menyebabkan kezaliman kepada orang yang disyaki melakukan kesalahan.

“Perbuatan merakam gambar orang yang disyaki (melakukan kesalahan) bagi tujuan sebaran awam juga suatu perkara yang amat tidak wajar,” katanya dalam kenyataan malam tadi. 

Justeru, Idris menyeru masyarakat supaya sentiasa cakna terhadap anggota kejiranan dan bersama mengambil peranan mencegah masalah sosial di sekeliling mengikut peranan masing-masing tanpa melampaui had.

Sebelum ini, tular klip video memaparkan tindakan jemaah sebuah masjid memandikan seorang lelaki seperti jenazah selain melumurkannya dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid.

Perbuatan itu mengundang pelbagai komen orang ramai yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib remaja lelaki itu yang diaibkan sedemikian rupa. – Malaysiapost

Komen