Umno kekal pendirian tanding solo

Umno kekal pendirian tanding solo

KETIKA spekulasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan semakin kencang bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), Umno melalui Barisan Nasional (BN) mengulangi pendirian bahawa gabungan itu akan bertanding solo.

Sehubungan itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan ia tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang tidak bersama BN.

Beliau menegaskan perkara itu ketika meninjau persiapan jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) Keembong dalam kawasan DUN Johor Jaya malam tadi.

“Walaupun Johor Jaya di bawah pembangkang, tetapi ahli Umno kekal setia dan bekerja keras untuk pastikan BN kembali menawan semula kerusi DUN Johor Jaya.

“Saya juga tekankan kepada MCA bahawa sangat penting mereka bekerja kuat dan memainkan peranan membawa semula pengundi kaum Cina kembali kepada BN.

“Saya juga tegaskan kepada ahli parti bahawa pendirian kita jelas dan tidak berubah. Umno melalui BN akan bertanding solo dan tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang tidak bersama BN,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Mohamad Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata melalui BN dominan dan kembali mentadbir, ia dapat mengembalikan kestabilan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Terdahulu, desas desus berkenaan PRN Johor semakin kuat dan dikatakan bakal diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad digesa segera memberi kata putus sama ada PRN Johor akan diadakan dalam masa terdekat atau sebaliknya.

Pada 25 Disember lalu, kerajaan Johor diketuai Umno dan disokong Perikatan Nasional (PN) memaklumkan akan memantau keadaan semasa termasuk keperluan mengadakan PRN berikutan hanya mempunyai kelebihan satu kerusi di DUN.

Hasni berkata beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memaklumkan kedudukan kerajaan negeri yang ketika ini mempunyai majoriti amat tipis dan dikhuatiri bertambah tidak stabil. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen