Umur 8 tahun dah telan 18 biji ubat sehari

Umur 8 tahun dah telan 18 biji ubat sehari

MENELAN 18 biji ubat sehari bukan lagi sesuatu yang luar biasa buat seorang kanak-kanak berusia 8 tahun di Tasek Bakong, Rantau Panjang. 

Bagi Putri Noor Zafrina Batrisya Muhamad Azwan berita dia disahkan mengalami simptom masalah buah pinggang bocor sejak tiga tahun lalu meragut keceriaannya, lapor Sinar Harian.

Menurut ibunya, Noor Fadliza Zakaria, 31, Noor Zafrina mula mengalami kekejangan di bahagian pinggang dan bengkak di beberapa anggota badan pada tahun 2019.

Noor Zafrina pada mulanya sering mengadu sakit pinggang sehingga menghidap demam hampir setiap minggu.

Noor Fadliza yang juga ibu tunggal sejak 2018 bagaimanapun reda memberi 18 jenis ubat kepada anaknya itu, antaranya ubat darah tinggi dan buah pinggang supaya dapat menahan sakit dan tidak demam.

“Saya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah pasar raya di Rantau Panjang. Sebelum keluar bekerja pada jam 8.30 pagi, saya akan memastikan Putri makan ubat.

“Putri Noor Zafrina terpaksa minum menggunakan straw kerana tidak larat untuk bangun apabila mengalami demam dan kelesuan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tasek Bakong.

Noor Fadliza sebelum itu menerima kunjungan wakil Thirdforce Rantau Panjang di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar yang turut menghulurkan sumbangan kewangan dan barangan keperluan asas.

Noor Fadliza berkata, bilangan ubat yang diberikan kepada Putri Noor Zafrina adalah berdasarkan jadual diberikan doktor dan ia akan berkurangan dari semasa ke semasa mengikut kondisi badan anaknya itu.

Mereka sekeluarga kini menunggu keputusan hospital untuk melakukan rawatan susulan memandangkan Putri Noor Zafrina perlu menjalani pembedahan di bahagian pinggangnya.

“Minggu depan doktor akan panggil lagi sekali untuk memaklumkan keadaan semasa Putri termasuklah mengenai pembedahan itu.

“Walaupun dua bulan sekali berulang ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), masih ada rutin harian yang perlu dilakukan di rumah seperti membuat ujian air kencing bagi memastikan protein dalam badan Putri adalah normal,” katanya. – Malaysiapost

Komen