Kematian Shebby kerana serangan jantung, bukan sebab dos penggalak 

Kematian Shebby kerana serangan jantung, bukan sebab dos penggalak 

BEKAS pemain bola sepak kebangsaan Serbegeth Singh atau Shebby disahkan meninggal dunia kerana serangan jantung akibat saluran tersumbat.  

Perkara itu disahkan anak lelaki Shebby, Sonuljit Singh yang kesal kerana netizen mengaitkan punca kematian bapanya akibat menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19. 

“Doktor memaklumkan kepada kami punca kematiannya 99 peratus disebabkan serangan jantung dengan bedah siasat menunjukkan tiga saluran arteri koronari tersumbat 90-100 peratus. 

“Semua organ pentingnya dalam keadaan baik dan tidak terdapat sebarang tindak balas alergi,” katanya dipetik FMT, hari ini.  

Sonuljit berkata doktor memaklumkan bapanya turut mempunyai masalah fibrosis jantung dan berkemungkinan besar pernah mengalami serangan tanpa disedari pada masa lalu, berdasarkan saluran jantung yang tersumbat teruk. 

Beliau berkata, bapanya, adik beradik mendiang dan ramai saudara memiliki sejarah masalah berkaitan jantung yang sama. 

“Jantungnya pada bila-bila masa boleh gagal berfungsi dan kematiannya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan pengambilan dos penggalak,” katanya.  

Shebby, 61, meninggal dunia selepas pengsan dan terjatuh ketika berbasikal di Kledang, Johor pada 12 Januari lalu. 

Shebby mula menyarung jersi kebangsaan pada tahun 1982 hingga 1991 dan pernah beraksi untuk pasukan Johor, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak sebelum bersara pada 1996. 

Antara kejayaan membanggakan Shebby ialah menjulang Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut untuk Kuala Lumpur pada 1987,1988 dan 1989. – Malaysiapost

Komen