Imej dari dron bongkar aktiviti pembalakan di habitat harimau

Imej dari dron bongkar aktiviti pembalakan di habitat harimau

SATU imej kesan daripada aktiviti pembalakan hutan dirakam dron aktivis alam sekitar didakwa sebagai habitat harimau yang terletak berdekatan dengan perkampungan orang asli di Pos Bihai, Gua Musang.

Imej daripada dron milik Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) itu dirakam semasa tinjauan pihak tersebut di lokasi berkenaan pada Isnin sehingga Jumaat lalu.

Penasihat Kuasa, Meor Razak Meor Abdul Rahman, berkata pihaknya merakam imej tersebut ketika menerbangkan dron ke lokasi Hutan Simpan Perias, Gua Musang yang dianggarkan terletak dalam jarak satu kilometer (km) dari Pos Bihai, Gua Musang.

“Minggu lepas, Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata kejadian serangan harimau di kampung orang asli Pos Bihai, Gua Musang yang membunuh seorang lelaki bukan disebabkan pembalakan.

“Kelmarin, kami ke tempat kejadian dan menaikkan dron. Memang dipercayai terdapat pembalakan tebang habis berdekatan kampung,” katanya memetik Sinar Harian.

Gambar imej tersebut turut dimuat naik dalam ciapan di Twitter rasmi Kuasa semalam.

Beliau yang juga Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) berkata, penduduk mendakwa, lokasi pembalakan tersebut sememangnya kawasan harimau bahkan mengikut data, Hutan Simpan Perias adalah habitat harimau terbesar di Kelantan.

“Dulu harimau ini sangat takut dengan manusia, kini tidak lagi. Mungkin kerana terdesak hilang habitat.

“Ini bukti di lapangan, tidak jauh dari kampung, dipercayai terdapat kongsi balak bagi projek pembalakan tebang habis bagi tujuan pembukaan ladang getah sebesar 400 hektar di Hutan Simpan Perias. Ya, pembalakan sedang berjalan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang orang asli suku kaum Temiar, Anek Along, 40-an, maut dibaham harimau di belakang rumahnya di Kampung Sau, Pos Bihai, 7 Januari lalu.

Bahkan lebih 2,000 masyarakat orang asli di 18 kampung di Pos Bihai, Gua Musang diselubungi ketakutan akibat tiga harimau belang berkeliaran di kampung itu sejak sebulan lalu hingga menjejaskan kehidupan harian mereka. – Malaysiapost

Komen