PM hubungi Rohana, mahu bantu urusan permohonan JPN

PM hubungi Rohana, mahu bantu urusan permohonan JPN

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan komitmen untuk membantu Rohana Abdullah, 22, yang ditinggalkan ketika berusia dua bulan di sebuah tadika selepas ibu kandungnya pulang ke Indonesia.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Ismail Sabri memuat naik video di mana beliau sendiri menghubungi Rohana bagi mendapatkan keterangan sendiri daripada gadis itu.

“Hari Isnin saya akan hubungi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), jika ada apa-apa pegawai saya akan hubungi awak,” katanya dalam video itu.

Ismail Sabri berkata, beliau akan membantu Rohana untuk menyelesaikan masalah dokumentasi gadis itu dalam permohonan JPN.

“InsyaAllah demi masa depan Rohana, saya akan bantu beliau mendapatkan taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan.

“Buat Chee Hoi Lan, terima kasih…salam hormat jua dari saya kerana menjaga Rohana, dengan penuh kasih sayang tanpa sempadan,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Menerusi video itu juga, Rohana mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi menbantunya dalam urusan permohonan tersebut.

Media sebelum ini melaporkan Rohana, 22, ditinggalkan ibunya seorang warga Indonesia dan dijaga selama hampir 20 tahun oleh seorang wanita, Chee Hoi Lan, 83, yang merupakan guru tadika di tempat ibu Rohana bekerja sebagai pekerja pembersihan.

Rohana dilaporkan terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta pernah mengalami kebimbangan (anxiety) akibat daripada masalah yang dihadapinya. – Malaysiapost

Komen