PEMANTAUAN situasi jangkitan Covid-19 terutama di dalam populasi remaja dan kanak-kanak mendapati secara keseluruhan sebanyak 144 kematian direkodkan akibat wabak berkenaan dalam kalangan populasi berumur 18 tahun dan ke bawah.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata daripada jumlah itu, 31 kes kematian melibatkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga merekodkan sebanyak 579,624 kes jangkitan Covid-19 membabitkan populasi berkenaan, bagi tempoh 25 Januari 2020 hingga 19 Januari 2022.
Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 269,773 kes membabitkan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.
“Walaupun kebiasaannya kanak-kanak hanya mengalami gejala ringan, terdapat juga sebilangan yang mengalami gejala teruk serta memerlukan rawatan di hospital termasuk di unit rawatan rapi (ICU).
“Mutakhir ini, terdapat peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak terutamanya setelah pembukaan sekolah pada awal tahun ini,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Khairy berkata, selain itu varian Omicron didapati lebih mudah merebak dan berpotensi tinggi bukan sahaja menjangkiti orang dewasa malah kanak-kanak.
“Berdasarkan data diperolehi dari negara-negara terkesan Omicron, jelasnya disebabkan varian itu juga berlaku peningkatan kemasukan ke hospital dalam kalangan kanak-kanak.
“Selain daripada risiko penyakit Long-Covid, kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 juga berisiko tinggi untuk mendapat kesan serius yang dikenali sebagai Multi-System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C).
“Kejadian MIS-saC ini boleh berlaku satu dalam 3200 kanak-kanak yang dijangkiti oleh Covid-19,” katanya.
Menurutnya, kanak-kanak tersebut boleh mengalami gejala yang sangat teruk seperti demam berlarutan, tekanan darah rendah, sawan serta keradangan pelbagai organ. – Malaysiapost