Azhan Rani stabil dalam pemantauan pakar

PELAKON Beto Kusyairy memaklumkan rakan baiknya, Azhan Rani yang terlibat nahas motosikal Isnin lalu, kini berada dalam keadaan stabil.

Menurutnya, pelakon itu bagaimanapun masih dalam jagaan pakar bagi pemantaunan pihak hospital.

“Amanah dari sahabatku Azhan Rani, dukacita ingin menyampaikan pada semua yang beliau telah terlibat dengan kemalangan motosikal pada tengah hari semalam (Isnin).

“Alhamdulillah keadaannya stabil dan masih dalam jagaan pakar,” katanya dalam hantaran Instagram.

Dalam hantaran itu juga, Beto memberitahu bahawa Azhan memohon maaf kepada semua kenalan dan wartawan kerana tidak dapat menjawab semua panggilan dan pesanan buat sementara waktu.

“Namun beliau tetap menghargai segala perasaan ambil berat ke atas dirinya. Sama-sama kita doakan beliau agar segera sembuh dan kembali pulih seperti sediakala,” ujarnya.

Menerusi hantaran terbaharu di Instagram, Azhan memuat naik gambar menunggu prosedur rawatan lanjut sambil memakai jubah berwarna hijau dan penutup kepala.

Pelakon siri Nur itu juga memohon maaf dan meminta agar peminat mendoakan kesihatannya.

“Ampun maaf pada semua. InsyaAllah dengan izinNya nanti kita jumpa lagi. Terima kasih atas doa dan kasih sayang semua,” katanya dalam hantaran itu.

Azhan terlibat dalam nahas motosikal di Jalan Templer, Petaling Jaya, Isnin lalu dan mengalami beberapa kecederaan teruk pada anggota badan.

Pelakon itu dilapor menunggang motosikal berkuasa tinggi berlanggar dengan sebuah lagi motorsikal, dan kesan dari pelanggaran itu beliau mengalami tulang belikat pecah, tulang bahu dan rusuk retak. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights