Banjir: 55 terkorban, 2 masih hilang – PM

Banjir: 55 terkorban, 2 masih hilang – PM

SERAMAI 136,030 mangsa banjir melibatkan 38,113 keluarga telah dipindahkan ke pusat perpindahan sementara (PPS) ketika bencana itu melanda negara baru-baru ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 1,112 PPS telah dibuka kepada mangsa banjir sejak monsun timur laut bermula.

“Meskipun monsun timur laut 2021/2022 masih belum tamat (dijangka berakhir pada Mac 2022), ketika ini semua PPS di seluruh negara telah ditutup sepenuhnya tetapi sentiasa bersedia pada sebilang masa sekiranya perlu dibuka semula,” kata Perdana Menteri dalam ucapan pembentangan Mesyuarat Khas Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri juga menjelaskan, jumlah kematian yang dilaporkan akibat bencana baru-baru ini ialah 55 kes orang.

“PDRM melaporkan 55 kes kematian akibat bencana banjir luar biasa ini melibatkan 40 lelaki dewasa, 12 perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan. Seramai dua mangsa dilaporkan masih hilang.

“Saya ingin merakamkan ucapan takziah serta menzahirkan rasa simpati amat mendalam terhadap mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat bencana ini yang turut mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan kediaman serta harta-benda,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan Keluarga Malaysia memperuntukkan RM1.4 bilion untuk meringankan beban mangsa banjir.

“Bagi meringankan beban ditanggung mangsa banjir kali ini, pada 29 Disember 2021, saya telah mengumumkan bantuan Keluarga Malaysia berjumlah RM1.4 bilion seperti Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang mana sehingga 19 Januari 2022, sejumlah RM125.504 juta telah disalurkan,” katanya. – Malaysiapost

Komen