Beri akses kepada platform pembayaran lain selain RFID – MYCC

Beri akses kepada platform pembayaran lain selain RFID – MYCC

SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MYCC) melahirkan kebimbangan mengenai pelaksanaan transaksi tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) susulan peningkatan aduan pengguna.

Kebimbangan itu dikongsi MYCC dalam mesyuarat bersama PLUS dan Touch ‘n Go Sdn Bhd (Touch ‘n Go) berhubung pelaksanaan RFID di sepanjang Lebuhraya PLUS pada 17 Januari lalu.

Perbincangan itu merupakan inisiatif MyCC untuk mendapatkan pemahaman lebih lanjut berkenaan pelaksanaan transaksi tol menggunakan RFID serta perkembangan terkini mengenainya.

“Memandangkan terdapatnya peningkatan aduan pengguna mengenai isu berkaitan pelaksanaan RFID di seluruh Lebuhraya PLUS, MyCC turut berkongsi penilaian dan kebimbangannya dalam mesyuarat yang sama mengenai pelaksanaan tersebut.

“Ini termasuk memberi akses kepada platform pembayaran lain untuk pembayaran tol bukan sahaja melalui kad debit atau kad kredit tetapi juga sistem e-wallet yang lain.

“MyCC juga akan menumpukan usahanya dengan memantau secara konsisten
perkembangan pelaksanaan tersebut selaras dengan peranannya dalam memperjuangkan
dan mempromosikan persaingan bagi kepentingan semua rakyat Malaysia,” kata MYCC menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata MyCC akan bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memastikan perubahan itu sentiasa memberi manfaat terbaik kepada semua pengguna.

“Dengan mengambil kira tanggungjawab khas yang ada pada kedua-dua perusahaan
dominan ini dalam pasaran-pasaran relevan, MyCC akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan apabila sebarang isu persaingan telah dikenal pasti, Akta Persaingan 2010 akan dikuatkuasakan.

“Seterusnya, adalah penting untuk diingatkan bahawa pasaran berkaitan inovasi boleh mewujudkan ketidakpastian,” katanya.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa pemegang konsesi tol supaya memberi pilihan kepada pengguna dalam penggunaan transaksi tol menggunakan RFID.

Menurutnya, Kabinet berpendapat bahawa pengguna jalan raya mesti diberi pilihan seperti waktu Touch ‘n Go (TnG) diperkenalkan di mana pengguna dibenarkan membuat transaksi secara tunai di tol.

“Sekarang ini, kita nak perkenalkan RFID supaya mempercepatkan laluan.

“Tidak ada gate dan sebagainya, cuma cadangan itu bagus tetapi dari segi pengguna, mereka mesti diberikan pilihan sama ada nak gunakan RFID, TnG atau SmartTAG,” katanya. – Malaysiapost

Komen