Dewan Rakyat panas PM tegur MP pembangkang ‘hilang’ ketika banjir

Dewan Rakyat panas PM tegur MP pembangkang ‘hilang’ ketika banjir

SUASANA Dewan Rakyat bertukar panas apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membidas beberapa wakil rakyat pembangkang yang tidak nampak ‘batang hidung’ ketika banjir melanda beberapa negeri bulan lalu.

Keadaan panas itu berlarutan hampir 10 minit apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangun dan menafikan dakwaan tersebut.

Segalanya bermula apabila Perdana Menteri berkata, beliau bergegas melawat kawasan banjir pada lewat malam untuk membantu mangsa, namun tiada kelibat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang.

“Saya tidak tahu, berapa ramai Ahli Parlimen dan Adun hilang ketika itu. Saya tak tahu rakan-rakan lain (di mana), saya tak nampak mereka bekerja waktu malam itu,” katanya dalam ucapan mesyuarat khas Parlimen, hari ini.

Sejurus itu, Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) dan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) bangun dan membantah.

Suasana Dewan terus gamat apabila pembangkang tidak berpuas hati terhadap kenyataan Ismail Sabri mengkritik kerajaan Selangor dalam mengurus bencana banjir.

Ismail Sabri menjelaskan, susulan banjir besar melanda negeri itu secara mengejut, beliau mempengerusikan beberapa siri mesyuarat peringkat negeri yang sepatutnya bukan tanggungjawab beliau.

“Selepas banjir di Selangor, saya pengerusikan mesyuarat di Pejabat Daerah dan Tanah Klang yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor. Sepatutnya bukan saya (pengerusikan), patutnya dah ada jawatankuasa yang telah diwujudkan,” jelas Ismail Sabri.

Khalid kemudian mencelah dengan mempersoalkan siapa seharusnya mengetuai mesyuarat bencana itu. “Patutnya siapa? Noh Omar (Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor?”

Bagaimanapun Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif (BN-Jempol) kemudian menegur sikap Khalid yang mencelah ketika perbahasan meminta pemimpin Amanah itu agar bertenang dan duduk.

Namun situasi tenang tidak lama, Dewan Rakyat kembali tegang apabila Ismail Sabri secara bersahaja menyatakan Khalid adalah individu yang dikatakan “hilang dari radar”.

“Ahli Parlimen Shah Alam dikatakan hilang dari radar… ha duduk. Kalau turun padang baguslah, bagus bagus,” kata Perdana Menteri.

“Perdana Menteri tidak boleh main sindir-sindir macam itu. Jangan sindir-sindirlah,” kata Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai).

Mohamad Sabu turut mencelah dengan menegaskan mesyuarat hari ini seharusnya mencari penyelesaian, bukan “bermain permainan salah-menyalah”.

“Kita tak mahu main ‘blame game’. Majlis cari penyelesaian, itu yang kita nak,” katanya.

Pada masa sama, Gobind Singh Deo (PH-Puchong) menegur sikap Perdana Menteri yang bermain serkap jarang dan menimbulkan syak wasangka dalam Dewan.

“Perdana Menteri datang tetapi tak panggil Ahli Parlimen, Perdana Menteri jenis apa ini,” kata Gobind.

Perdana Menteri kemudian membalas: “Banjir ini kecemasan, jadi tiada kad jemputan dikeluarkan.” – Malaysiapost

Komen