Enam kali amaran bencana tidak  diendahkan – PM

Enam kali amaran bencana tidak diendahkan – PM

TERDAPAT segelintir pihak yang terlibat dalam pengurusan bencana tidak mengendahkan amaran aplikasi WhatsApp ‘push notification’ yang memaklumkan amaran cuaca buruk oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) ketika banjir Disember lalu.

Perkara itu didedahkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berkata, amaran cuaca telah dikeluarkan MetMalaysia bagi persediaan menghadapi Monsun Timur Laut 2021/2022.

Perdana Menteri berkata, sebanyak enam kali amaran cuaca signifikan yang menyebabkan hujan lebat telah diberikan oleh jabatan tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata pihak berkaitan didakwa hanya mengandaikan negeri-negeri pantai timur Semenanjung sahaja yang akan terjejas akibat banjir.

“MetMalaysia telah mengeluarkan enam kali amaran cuaca signifikan yang boleh menyebabkan hujan lebat, namun amaran cuaca ini tidak diendahkan sesetengah pihak yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana kerana andaian iaitu hanya negeri-negeri pantai timur Semenanjung yang akan terjejas akibat banjir, yang dibawa oleh hujan lebat oleh luluran monsun.

“Persediaan musim tengkujuh juga banyak tertumpu di negeri-negeri di pantai timur dan banjir luar biasa di Selangor berlaku di luar jangkaan banyak pihak.

“Banjir di Selangor bermula pada 18 Disember 2021 berlaku akibat jumlah purata hujan luar biasa iaitu 380 milliter pada hari tersebut, menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan.

“Pada masa yang sama kejadian air pasang menyebabkan keadaan bertambah buruk,” kata Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika penerangan berkenaan Situasi Bencana Banjir Penghujung Tahun 2021 di Mesyuarat Khas Parlimen Ke-14 Penggal Keempat. – Malaysiapost

Komen