Hari ini agendanya banjir, bukan SPRM – Azhar

Hari ini agendanya banjir, bukan SPRM – Azhar

[PARLIMEN] YANG Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menolak usul pembangkang untuk membincangkan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di Dewan Rakyat hari ini.

Usul tersebut dikemukakan Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat kelmarin.

Menurut Azhar, usul tersebut ditolak memandangkan agenda Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini adalah berkaitan isu banjir.

“Hari ini agendanya banjir, bukan SPRM. Saya akui terima usul tersebut dua hari lepas dan sudah menjawab bahawa sidang khas ini dipanggil berdasarkan kuasa mutlak Perdana Menteri.

“Oleh sebab itu, saya tidak ada kuasa menentang atau menerima usul tersebut. Kalau Yang Berhormat Pulai fokus, agenda ini ditetapkan Perdana Menteri.

“Sehingga hari ini, saya tidak mempunyai apa-apa notis dari Perdana Menteri (mengenai agenda lain), maka saya anggap usul itu tidak akan dimasukkan dalam agenda hari ini,” katanya.

Sebelum itu Salahuddin bangun dan meminta kebenaran Azhar supaya usul dikemukakan beliau kelmarin dimasukkan dalam agenda terakhir pada persidangan hari ini.

Kemudian, Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) turut bangun mencelah dengan merujuk buku aturan mesyuarat supaya usul dikemukakan Salahudin diterima dan dibahaskan selepas tengah hari.

Turut bangun ialah Gobind Singh Deo (PH-Puchong) dan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat).

Semalam Salahuddin menerusi hantaran di Facebooknya memberitahu beliau telah menghantar notis usul tergempar kepada Azhar untuk membincangkan isu pemilikan saham Azam.

Beliau turut berkongsi kandungan surat mengenai cadangan usul tergempar berkenaan.

Berdasarkan surat berkenaan, beliau memaklumkan antara isu yang menjadi perhatian adalah perkara itu perlu disegerakan untuk menggesa Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Malaysia (LPPR) melakukan siasatan lebih lanjut. – Malaysiapost

Komen