KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) perlu meneliti sama ada wujud kemelut dalaman Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sehingga pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia meninggalkan badan induk tersebut.
Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven SiM berkata jika tiada tindakan segera dilakukan, BAM dikhuatiri akan kehilangan lebih ramai pemainnya.
“Namun apabila pemain utama negara memilih untuk keluar dari BAM, walaupun Majlis Sukan Negara (MSN) dan BAM telah melaburkan wang ringgit dan usaha yang amat besar ke atas beliau, maka KBS harus bermuhasabah.
“Saya khuatir jika terdapat masalah dalaman yang tidak ditangani, BAM akan kehilangan lebih ramai pemain mereka.
“Zii Jia keluar BAM ketika kemelut pemecatan 253 atlet negara dan pengurangan lebih 50 peratus elaun bagi atlet yang masih berada di bawah kontrak latihan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria mengesahkan Zii Jia, juara Seluruh England 2021 menghantar surat peletakan jawatan untuk meninggalkan persatuan itu.
Peletakan jawatan pemain nombor tujuh dunia itu dikatakan kerana tidak dapat menerima tekanan dan mahu mencapai impian mengikut rentaknya sendiri.
Mengulas lanjut Steven berkata, kemelut sukan negara termasuk beberapa atlet utama negara ditamatkan kontrak latihan ataupun memilih untuk bersara terus adalah krisis terburuk arena sukan negara.
“Ini krisis terburuk arena sukan negara dan akan melumpuhkan prestasi sukan Malaysia jika menteri KBS masih gagal mengambil tindakan sewajarnya.
“Fenomena kerajaan gagal kini dilihat merebak ke KBS. Sehingga kini, menteri KBS memilih untuk membisu terhadap isu kebajikan atlet dan pembangunan sukan tanah air.
“Sebaliknya, menteri yang sama begitu pantas tampil mempertahankan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terpalit dalam kontroversi pembelian saham,” katanya. – Malaysiapost