PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) memutuskan untuk tidak mendaftarkan pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia menyertai mana-mana kejohanan untuk tempoh dua tahun.
Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang berkata, BAM mengambil tindakan itu susulan keputusan Zii Jia meninggalkan badan induk itu, minggu lalu.
“Selepas mempertimbangkan semua faktor, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 18 Januari,” katanya dalam satu sidang media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini.
Tindakan BAM itu pastinya tamparan hebat buat Zii Jia dalam usaha mengumpul mata untuk melayakkan dirinya ke Sukan Olimpik 2024 kerana semua pemain yang mahu menyertai kejohanan di bawah kelolaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) perlu mendapatkan kelulusan BAM.
Terdahulu, media melaporkan Zii Jia menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa dia meninggalkan BAM adalah disebabkan faktor duit, tetapi sebaliknya menegaskan, mempunyai alasannya sendiri yang akan dimaklumkan pada sidang akhbar dalam masa terdekat ini.
Namun, Zii Jia yang masih enggan membuka mulut tentang sebab sebenar dia mahu meninggalkan BAM, berjanji akan menjelaskan tentang sebab pengundurannya sebaik badan induk sukan negara itu mengumumkan keputusan mereka, hari ini.
Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu memberitahu, walauapapun keputusan yang dibuat BAM kelak, dia akan tetap berpegang teguh kepada pendiriannya. – Malaysiapost