KPLB terima 356 aduan kerosakan jalan akibat banjir

SEBANYAK 356 laporan kerosakan Jalan Perhubungan Desa (JPD) akibat bencana banjir diterima Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Perkara itu didedahkan Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang berkata, kos pembaikan kerosakan jalan berkenaan mencecah lebih RM37 juta.

Beliau berkata, KPLB juga menerima laporan kerosakan Ameniti Sosial bernilai RM35 juta untuk kerja-kerja pembaikan.

“Setakat 9 Januari lepas, sebanyak 356 permohonan JPD diterima bagi kerja bina baharu, naik taraf serta membaik pulih kemudahan dan infrastruktur.

“Manakala, 394 permohonan Program Ameniti Sosial (PAMS) iaitu termasuk di kawasan perkampungan orang asli yang dilanda banjir baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Asas (BPBKA) kepada mangsa banjir di Port Dickson, Negeri Sembilan, hari ini.

Menurut Mahdzir, jumlah kerosakan dan kos pembaikan tersebut dinilai setakat 9 Januari lalu dan dijangka meningkat sebaik penilaian menyeluruh siap dilaksanakan di seluruh negeri yang terkesan dengan bencana banjir bulan lalu itu.

Kerja-kerja baik pulih katanya, akan dilaksanakan dan dijangka siap dalam tempoh empat hingga enam bulan.

“KPLB sebelum ini menyediakan peruntukan khas berjumlah RM150 juta bagi pembaikan dan pemulihan pasca bencana banjir.

“Ia membabitkan RM50 juta bagi membaik pulih dan bina baharu rumah di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia.

“Manakala bagi pembaikan JPD dan PAMS masing-masing diperuntukan sebanyak RM50 juta,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights