BARISAN Nasional berhasrat mengembalikan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah kepada Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
Ketua Umno Bahagian Merbok, Annuar Ahmad, berkata ketika pra PRU-12 pada 2008 kerusi DUN Bukit Selambau seringkali dianggap kerusi selamat oleh koalisi BN.
Walaubagaimanapun, katanya, sejak 2008, MIC gagal mengekalkan tradisi kemenangan BN di DUN berkenaan apabila tewas empat kali berturut-turut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2009, PRU-13 pada 2013 dan PRU-14 yang berlangsung pada 2018.
“Menginsafi kekalahan besar BN dalam PRU-14 di negeri Kedah, satu tawaran baharu perlu dipersembahkan oleh BN kepada rakyat di negeri Kedah amnya dan rakyat di DUN tersebut khususnya.
“Demografi terkini pengundi di N25 DUN Bukit Selambau ST3 2021 merekodkan 61.12 peratus (31,558) dari pengundi di DUN tersebut adalah Melayu, manakala India hanya 21.70 peratus (11,202), Cina 16.32 peratus (8,427) dan lain-lain 0.85 peratus (442),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Annuar berkata, tuntutan tersebut sama sekali tidak memperkecilkan usaha yang telah dan sedang dilakukan oleh MIC untuk DUN Bukit Selambau.
Menurutnya, MIC masih dan akan terus menjadi komponen yang penting bagi BN Parlimen Merbok.
Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan susulan dengan membawa sebuah memorandum khas ke peringkat cawangan-cawangan, Badan Bukan Kerajaan dan pimpinan masyarakat untuk ditandatangani.
Katannya, ianya bagi bagi membuktikan sokongan bahawa kali ini calon daripada Umno berbangsa Melayu wajar diberi peluang mewakili DUN Bukit Selambau.
Annuar berharap Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membawa dan membuat perundingan berkenaan tuntutan itu dengan Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran bagi mencapai penyelesaian bersama. – Malaysiapost