KJ ketuai delegasi Malaysia di Mesyuarat EB WHO di Geneva

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin berlepas ke Geneva, Switzerland, hari ini bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Sesi Ke-150 yang dijadualkan pada 24 hingga 29 Januari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan, turut sama dalam delegasi itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta pegawai-pegaeai kanan KKM.

“Lembaga Eksekutif (EB) WHO adalah mesyuarat berkala yang dihadiri oleh Menteri-Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan dan pakar-pakar dalam bidang berkaitan untuk membincangkan komitmen, dasar, status pelaksanaan program dan hala tuju sektor kesihatan yang sudah dipersetujui secara konsensus di bawah WHO.

“Penyertaan Malaysia sebagai ahli Lembaga Eksekutif bagi rantau Pasifik Barat adalah penting kerana Mesyuarat EB WHO adalah platform yang menyediakan ruang bagi konsultasi dan perbincangan lanjut bersama ahli EB yang lain demi kepentingan sektor kesihatan sejagat,” menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan, Malaysia juga akan mengetengahkan isu kesihatan signifikan yang bukan sahaja membabitkan negara, malah negara anggota Rantau Pasifik Barat.

“Mesyuarat ini juga secara tidak langsung akan memberi peluang kepada Malaysia untuk memperluaskan jaringan kerjasama dalam kalangan negara anggota di samping membincangkan kolaborasi yang berpotensi untuk dilaksanakan di rantau ini,” katanya.

Malaysia dilantik sebagai ahli EB WHO mewakili Rantau Pasifik Barat (Western Pacific Region) bagi tempoh tiga tahun bermula Mei 2021 hingga Mei 2024.

Ahli Lembaga Eksekutif WHO di peringkat kementerian adalah Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan.

Menurut KKM, komitmen Malaysia dalam menghadiri mesyuarat itu membuktikan kerajaan konsisten dan komited dalam setiap kerjasama di peringkat antarabangsa.

“Selain menaikkan imej negara di persada global, kerjasama yang berterusan itu akan diterjemahkan sebagai usaha Malaysia dalam membangunkan sektor kesihatan secara holistik di dalam negara mahupun di Rantau Pasifik Barat,” kata kenyataan itu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights