PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menziarahi Tun Dr Mahathir Mohamad yang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berharap keluarga bekas Perdana Menteri itu terus tabah dan berdoa.
“Tiba di IJN sebentar tadi untuk menziarahi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dimasukkan ke IJN.
“Saya turut bertemu dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di IJN tadi dan berharap keluarga Tun Dr Mahathir terus tabah dan tak henti berdoa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, pengamal media berkumpul di IJN bagi mengikuti perkembangan mengenai kesihatan Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu yang dikatakan membimbangkan.
Jurucakap pejabat Dr Mahathir turut mengesahkan beliau kini dirawat di Unit Penjagaan Koronari (CCU) pusat perubatan berkenaan. – Malaysiapost