RAKYAT tidak mahu kehidupan mereka ‘disemakkan’ dengan isu-isu yang menambah kerungsingan sedia ada, tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Presiden Umno berkata, apa yang rakyat harapkan adalah keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan dikembalikan, namun terpaksa menerima hakikat Malaysia memulakan tahun baharu 2022 dengan langkah kiri.
“Kurang sebulan Januari bermula telah terlalu banyak kemelut dan isu yang ‘menyemakkan’ kepala rakyat berlaku.
“Pergeseran antara agensi kerajaan, isu berkaitan umrah, larangan pakai songkok dan kopiah, RFID dan banyak lagi.
“Kesemua yang terjadi memberi kesan secara langsung mahupun tidak langsung kepada masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, kunci kepada harapan rakyat adalah kestabilan dari segi politik, ekonomi, hubungan antara kaum dan segala-galanya.
“Demi mengecapi kestabilan adalah dengan negara kembali ditadbir oleh sebuah kerajaan yang kukuh dan dominan. Terutama ditadbir parti politik yang berpengalaman dan mempunyai trek rekod dalam membangunkan Malaysia.
“Pendapat ini bukan berlebihan atau berunsurkan retorik, tetapi berlandaskan fakta dan kebenaran,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia pernah berada di tangga ke-35 dalam Ranking of Happiness berdasarkan World Happiness Report 2018, namun hanya selepas setahun kedudukan jatuh di kedudukan ke-80.
“Kemudian jatuh ke tangga ke-82 berdasarkan World Happiness Report pada 2020. Sebelum meningkat sedikit satu anak tangga di kedudukan ke-81 dalam World Happiness Report 2021.
“Selepas lebih tiga tahun sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), tiada tanda-tanda kedudukan Malaysia akan kembali meningkat secara significant.
“Justeru, kita bimbang dengan pelbagai kemelut dihadapi Malaysia hanya pada bulan pertama tahun 2022 bermula. Kita tidak mahu kedudukan Malaysia dalam Ranking of Happiness jatuh lebih teruk kerana implikasinya tidak baik,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, kedudukan itu bukan sahaja tentang persepsi masyarakat dunia terhadap Malaysia, juga pandangan golongan pelabur terhadap negara. – Malaysiapost