YBR taja 500 mangsa banjir membaikpulih motosikal

YAYASAN Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan sebanyak RM53,000 bagi membaikpulih 500 motosikal mangsa banjir yang terkesan akibat bencana itu pada Disember lalu di Pahang.

YBR dengan kerjasama Persatuan Rekreasi Wilayah Ceria 1 Malaysia (PRWC1) turut menganjurkan Program Pemulihan Kenderaan Bermotor.

Pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, bantuan peralatan dan teknikal yang diberikan kepada mereka yang mengalami kerosakan motosikal akibat banjir, diharapkan dapat meringankan beban kewangan mangsa yang terkesan.

“YBR telah bekerjasama dengan PRWC1 bagi menguruskan lokasi bengkel serta menyediakan keperluan teknikal bagi membaiki motosikal yang terkesan akibat banjir dan memudahkan proses pembaikpulihan.

“Pihak kami amat bersimpati dengan mereka yang terkesan akibat banjir dan diharapkan program ini sedikit sebanyak meringankan beban ditanggung dan dapat memudahkan untuk melakukan tugasan atau aktiviti harian pasca banjir.

“Difahamkan banyak organisasi dan badan bukan kerajaan (NGO) lain telah memberi bantuan bahan makanan dan pakaian oleh itu pihak YBR berhasrat untuk menggunakan pendekatan berbeza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, bantuan banjir juga turut dilaksanakan oleh YBR kepada mereka yang terkesan di Selangor iaitu di sekitar Hulu Langat, Serdang dan Klang.

“YBR akan lebih berusaha dan memperbanyakkan lagi program pendidikan dan komuniti bagi membantu menaiktaraf pendidikan negara serta membantu komuniti di masa akan datang,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights