GST: ‘Geng PH batalkan satu-satunya cara kesan harga barang melampau’ – Najib

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memaklumkan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang pernah diperkenalkan beliau sebelum ini bukan hanya bertujuan memantau harga di setiap peringkat rantaian bekalan.

Jelas beliau, sistem GST juga memainkan peranan untuk mengesan dan mengenal pasti kenaikan harga barang melampau.

“Selain itu, GST juga membendung masalah aliran keluar dana haram akibat pengimport dan pengeksport memanipulasi harga untuk mengelak cukai sebab negara.

“Geng PH (Pakatan Harapan) sering mempermainkan isu ini tapi mereka juga yang batalkan satu-satunya cara untuk melawan kegiatan “trade mispricing” ini,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Semalam, media melaporkan, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz memberi bayangan pelaksanaan GST berkemungkinan bakal diperkenalkan semula bagi membendung masalah ketirisan cukai.

Tengku Zafrul mejelaskan sekiranya dilihat perbandingan antara GST dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), secara teorinya hasil kutipan lebih kurang sama, cuma dari segi praktikal GST lebih efisien kerana penipuan cukai sukar dilakukan.

Lebih malang, Tengku Zafrul mendedahkan hasil kerajaan merosot sebanyak RM20 bilion apabila SST kembali diperkenalkan, walaupun harga barangan kesan pengenalan semula SST adalah sama dengan GST.

Tambahnya, beliau juga mengakui usul pelaksanaan GST, sekiranya diterima kerajaan dan rakyat, perlu dibentangkan semula oleh beliau di Parlimen susulan kerajaan PH sudah membatalkan akta itu sebelum ini.

Sementara itu, dalam hantaran sama, Najib berkata beliau berharap Menteri Kewangan boleh memberi pencerahan kepada bekas Perdana Menteri kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini turut serta dalam demonstrasi jalanan membantah pelaksanaan GST.

“Tapi saya harap Menteri Kewangan akan ajar sikit bekas boss (Muhyiddin) dia itu sebab bimbang PM8 akan turun ke jalan raya lagi untuk bantah GST bagi menipu rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights