‘Tetap lawan kerana maruah harus dipertahankan’ – anak Zahid

PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang diperintah oleh Mahkamah Tinggi membela diri atas 47 pertuduhan membabitkan dana yayasan hari ini, akan meneruskan prosiding membela diri.

Perkara itu diumumkan anaknya, Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid menerusi hantaran di Instagram sebenar tadi.

“Lawan? Ya. Tetap lawan secara professional kerana maruah harus dipertahankan,” tulisnya dalam hantaran itu.

Nurul Hidayah berkata, laluan untuk mendapat nikmat kebahagiaan tidak akan mudah, oleh itu biarlah diuji dengan kegagalan atau kesedihan.

Jelasnya lagi, tidak perlu untuk menyalahkan sesiapa atas keputusan yang telah ditetapkan kerana segalanya telah diaturkan Allah SWT.

“Tak perlu nak meroyan nak maki hamun sesiapa. Percaya dan letak segalanya kepada Allah. Dia tahu. Dia nak tengok sejauhmana kita bertahan.

“Nak dapat pengakhiran yang baik tak mudah. Ibadat solat, zikir, tahajjud,puasa sunat.. Bila kena ujian kita marah-marah.. Maki.. Tak puas hati.

“Bayangkan bila kita tengah marah-marah maki hamun malaikat cabut nyawa kita? Sia2 sahaja. Fokus kepada pengakhiran hayat yang baik,” katanya.

Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah agar bekas Timbalan Perdana Menteri itu membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua tuduhan terhadap Ahmad Zahid, 69, yang juga pengasas yayasan terbabit.

Sequerah dalam penghakimannya berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti yang dikemukakan pendakwaan.

Sementara itu, Ahmad Zahid memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi, selepas diperintah membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah dan jenayah yang dihadapinya.

Susulan pilihan yang diambilnya itu, sepanjang tempoh proses pembelaan diri kelak, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, akan disoal oleh barisan peguam bela yang mewakilinya dan pihak pendakwaan berpeluang menyoalnya ketika pemeriksaan balas. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights