Zii Jia, semuanya ada di BAM – Misbun

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) adalah medan terbaik untuk Lee Zii Jia mengejar impiannya bergelar jaguh dunia.

Legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek berkata pemain perseorangan lelaki negara itu masih memerlukan bimbingan badan induk tersebut dan satu kerugian besar jika Zii Jia kekal dengan pendirian untuk bergerak secara profesional.

Ini kerana, menurut Misbun, bakat Zii Jia akan terperap susulan keputusan BAM yang tidak akan mendaftarkannya menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun.

Misbun yang pernah membimbing Zii Jia berkata, tempoh dua tahun tanpa sebarang kejohanan bukan sesuatu yang singkat dan sukar untuk pemain itu kembali mendapatkan prestasinya seperti sekarang.

“Di sini (BAM) semua ada, tidak perlu lagi fikir apa-apa, jadi sekarang ini terpulang kepada dia. Apa yang dimahukan sebenarnya.

“Zii Jia perlu berada di BAM kerana dia masih muda dan masih perlukan bimbingan supaya dapat sampai ke tahap lebih tinggi,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Misbun yang juga Pengarah Pembangunan Remaja BAM turut memberi contoh bagaimana jaguh Jepun, Kento Momota bergelut untuk kembali kepada prestasi sebenar selepas digantung setahun pada April 2016 oleh Persatuan Badminton Nippon kerana berjudi di kasino haram.

“Dia (Momota) kena bermula dari bawah, begitu juga Zii Jia. Soalnya sekarang siapa yang hendak bantu dia ketika itu (dua tahun lagi)? Jika dia ada duit sekali pun, siapa yang hendak bantu dan ‘pegang’ dia,” katanya.

Minggu lalu, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 18 Januari lalu susulan keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara profesional. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights