MENTERI Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menzahirkan rasa syukur kemelut susulan antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Lee Zii Jia diselesaikan secara baik.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada kedua-dua pihak kerana mengutamakan kepentingan negara berbanding perkara lain.
“Syukur. Khabarnya, perjumpaan yang baik antara kedua belah pihak. Bila kepentingan negara diutamakan, tentu ada jalan penyelesaiannya. Kudos to BAM dan semua pemain badminton.
“Saya berbangga dengan anda semua,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya sebentar tadi.
Terdahulu hari ini konflik antara Zii Jia dan BAM berhubung penggantungan menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selesai.
Perkara itu dikongsikan Zii Jia menerusi hantaran di Facebook yang menurutnya, BAM telah memberi restu untuknya menjadi pemain profesional susulan pertemuan kedua-dua pihak hari ini.
Semalam Ahmad Faizal mengadakan pertemuan serampang dua mata dengan Zii Jia.
Beliau berkata, pertemuan itu bagi mendengar sendiri pandangan dan luahan pemain perseorangan utama badminton negara itu yang secara mengejut meninggalkan BAM minggu lalu. – Malaysiapost