AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan peruntukan bernilai RM150 juta untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah satu pembaziran.
Beliau berkata, pembaziran sebenar yang lebih tinggi boleh terjadi apabila kerajaan yang tidak stabil terus dibiarkan mentadbir negeri itu.
“Soal pembaziran RM150 juta kerana PRN, pada saya lebih tinggi pembaziran apabila kita membiarkan kerajaan tidak stabil ini terus berjalan” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara secara langsung di Facebook Dialetika TV Anekdot, semalam.
Terdahulu, Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat yang mempersoal kewajaran PRN diadakan dan mendakwa anggaran kos sebanyak RM150 juta diperlukan untuk membiayai PRN Johor hanya mendatangkan kerugian.
Suhaizan berkata, wang RM150 juta itu sepatutnya digunakan untuk membela rakyat, bukan mengadakan PRN.
Malah, katanya, PRN secara mengejut ini akan memberi kesulitan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang perlu mendapatkan data pengundi ditambah pula dengan pengundi baru berumur 18 tahun dalam masa yang singkat.
Beliau juga mendakwa , Umno mengambil kesempatan terhadap peratusan undi yang rendah merujuk kepada PRN Melaka di mana peratusan keluar mengundi yang rendah menyaksikan Umno dan Barisan Nasional memperoleh kemenangan dominan di negeri itu.
Dalam pada itu, Mohd Puad berkata, soal keperluan PRN sudah tidak relevan lagi kerana Johor memerlukan kerajaan yang kukuh dan kuat melalui mandat rakyat.
“Dewan negeri telah dibubarkan, jadi persoalan ini (keperluan adakan pilihan raya) tidak lagi relevan,” katanya.
Sabtu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), diadakan.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor Bahru. – Malaysiapost