BARU sebulan dilancarkan, Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang secara rasmi bertapak di Pulau Pinang hari ini dilaporkan telah menarik penyertaan kira-kira 8,000 ahli di negeri itu.
Malah Pengerusi PBM Pulau Pinang, Alan Oh berkata parti tersebut mampu menjadi alternatif atau kuasa ketiga kepada parti-parti lain yang telahpun bertapak di negeri itu.
Katanya, pemimpin parti itu sebahagian besarnya berpengalaman dalam arena politik di negeri tersebut, sekali gus memahami kehendak pengundi tempatan, lapor Utusan Malaysia.
Selain membuka penyertaan kepada semua kaum, beliau memaklumkan PBM menumpukan kepada teras utama iaitu menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan muda dan wanita serta memperkasa ekonomi, pendidikan dan teknologi.
“Kita berharap apa yang ditawarkan menerusi teras PBM ini dapat menarik keyakinan pengundi Pulau Pinang untuk memilih kita sebagai parti alternatif atau kuasa ketiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya memetik laporan akhbar itu hari ini.
Bekas Ketua Cabang PKR Bagan itu mengadakan sidang media memperkenalkan PBM Pulau Pinang yang turut dihadiri beberapa bekas pemimpin PKR negeri termasuk bekas Ketua Cabang Jelutong, David KP Ong.
Oh berkata, PBM akan bertanding semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Pulau Pinang pada PRU15 dalam usaha mengambil alih kerajaan negeri daripada DAP.
Mengenai kerjasama dengan parti lain, katanya, masih terlalu awal untuk membuat ketetapan berhubung perkara itu.
Semalam, Parti Warisan Sabah (Warisan) Pulau Pinang mendakwa lebih ramai pemimpin DAP negeri itu menyertai parti tersebut selepas ini menjelang PRU15 akan datang.
Koordinatornya, Jeff Ooi Chuan Aun berkata, selain itu tokoh politik, ahli korporat serta golongan profesional juga akan menyertai parti diasaskan di Sabah itu. – Malaysiapost