Zahid perlu ‘direhatkan’ sebagai Presiden Umno

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi patut ‘direhatkan’ serta-merta daripada memegang jawatan penting dalam parti termasuk sebagai Presiden Umno.

Bekas Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, berkata banyak pihak memberi pandangan yang sama termasuk juga mereka dalam kalangan parti itu.

Justeru, beliau mencadangkan, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memangku kekosongan jawatan tersebut kerana sesuai dengan kedudukan dirinya sebagai Perdana Menteri, sehinggalah pemilihan pucuk pimpinan parti diadakan.

“Saya berkongsi pandangan ini kerana bimbang Umno dan Barisan Nasional (BN) khususnya akan berdepan dengan kesukaran untuk meraih kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Keputusan PRU14 sepatutnya menjadi pengajaran berguna kepada Umno bahawa pemimpin yang berdepan dengan kes mahkamah dan bergelumang dengan isu penyalahgunaan kuasa akan menjadi beban kepada parti dan dicemuh serta ditolak pengundi.

“Jadi, saya juga berpendapat keputusan PRN tidak mencerminkan kekuatan sebenar mana-mana parti kerana pengundi pada PRU memiliki tanggapan dan keyakinan yang berbeza,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan beliau membela diri terhadap 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Sehubungan itu, Syed Ali berkata, bagi menjamin kelangsungan Umno untuk menghadapi PRU15, beliau berpandangan sewajarnya Ismail Sabri dipilih sebagai Presiden parti ini manakala Datuk Seri Mohamad Hassan sebagai Timbalan Presiden.

“Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin (semalam) memerintahkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, untuk membela diri atas 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

“Walaupun ada pihak berpendapat kes Ahmad Zahid tidak memberi kesan kepada Umno, tetapi saya tetap percaya bahawa kes berkenaan akan menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terbanyak terhadap Umno dan mampu mempengaruhi keputusan PRU15.

“Lagipun, ahli-ahli Umno peringkat akar umbi masih tertanya-tanya apakah keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno 2009 yang memutuskan mana-mana pemimpin parti itu terbabit kes mahkamah secara otomatik akan digantung semua jawatan dalam parti, masih diguna pakai atau sebaliknya.

“Presiden Umno pada ketika itu, Datuk Seri Najib Razak selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno pada 30 Mei 2009 dipetik sebagai berkata :”Sekiranya pemimpin itu berjaya dalam proses mahkamah, iaitu didapati tidak bersalah, maka jawatannya dikembalikan,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan kepada keputusan MT Umno pada 2009, beliau tidak menolak kemungkinan banyak pemimpin Umno termasuk Ketua Bahagian yang terkait dengan kes mahkamah dan dikenakan tindakan disiplin tetapi masih lagi memegang jawatan dalam parti.

“Dalam hal ini, Setiausaha Agung Umno perlu mengeluarkan kenyataan terbuka menjelaskan kepada ahli-ahli parti di peringkat akar umbi sama ada ketetapan itu telah dibatalkan atau masih lagi berkuatkuasa mengikut peraturan yang ditetapkan oleh perlembagaan parti.

“Jika secara rasmi ia telah dibatalkan, bermakna tindakan disiplin yang telah diambil keatas pemimpin-pemimpin Umno sebelum ini secara automatik turut terbatal dan tidak sah.

“Sebaliknya jika keputusan MT Umno 2009 masih lagi kekal sehingga ke hari ini (2021), bagaimana pula dengan kedudukan pemimpin- pemimpin Umno yang masih memegang jawatan dalam parti tetapi sedang disabitkan dengan kes mahkamah termasuk mereka yang dalam proses perbicaraan?,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights