Selepas ayam, Selangor rancang jual telur, daging dan ikan bawah harga siling

Selepas ayam, Selangor rancang jual telur, daging dan ikan bawah harga siling

SELEPAS inisiatif harga siling ayam, kerajaan Selangor kini bercadang menjual telur ayam, daging lembu dan ikan di bawah harga siling dalam usaha meringankan beban rakyat di negeri itu.

EXCO Pertanian negeri, Ir Izham Hashim berkata perancangan itu susulan sambutan menggalakkan orang ramai menerusi inisiatif jualan ayam dengan harga RM8 sekilogram, lapor selangorkini.

“Ini inisiatif terbaharu sehingga Aidilfitri. Kita sudah perkenalkan ayam dan ia diikuti telur ayam, daging lembu dan beberapa jenis ikan.

“Kualiti produk yang dijual kita jaga manakala harganya di bawah harga siling,” katanya selepas program Ikon Agro Selangor 2021 di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Shah Alam malam tadi.

Izham berkata, setakat ini terdapat dua lokasi jualan ayam murah dan pihaknya akan meluaskan lagi inisiatif tersebut di kawasan lain bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat.

“Sama ada kita bekerjasama dengan FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) Selangor atau PBT (pihak berkuasa tempatan) di pasar awam, kita akan memuktamadkanya nanti.

“Ini supaya bermula sekarang hingga Hari Raya, rakyat ada kemudahan dari segi mendapat keperluan harian ini dengan harga berpatutan,” katanya.

Pada 5 Februari lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan Selangor menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menetapkan harga siling runcit ayam standard RM8 sekilogram di semua premis jualan di bawah seliaan PKPS bermula semalam.

Amirudin berkata inisiatif itu bagi memastikan rakyat Selangor terus mendapat akses secukupnya kepada ayam segar berkualiti pada harga berpatutan.

Katanya, bagi membantu mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan, kerajaan negeri menerusi PKPS memperuntuk dana RM1 juta untuk Program Intervensi Harga Makanan Ehsan. – Malaysiapost

Komen