Saya tak pernah kempen jadi PM dengan sokongan kluster mahkamah – Muhyiddin

Saya tak pernah kempen jadi PM dengan sokongan kluster mahkamah – Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Yassin mengakui menjadi Perdana Menteri kelapan kerana sokongan Ahli Parlimen Umno termasuk yang digelar kluster mahkamah.

Bagaimanapun Muhyiddin menegaskan, beliau tidak pernah berkempen untuk menjadi Perdana Menteri apatah lagi meminta sokongan daripada kluster mahkamah untuk jawatan tersebut.

“Ya, saya jadi Perdana Menteri kerana disokong oleh Ahli-ahli Parlimen termasuk daripada kluster mahkamah. Ada orang kata tidak malukah saya terima sokongan kluster mahkamah untuk jadi Perdana Menteri.

“(Tetapi) Saya tidak minta untuk jadi Perdana Menteri. Saya tidak pernah berkempen pun untuk jadi Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan, beliau hanya menyedari sokongan kluster mahkamah terhadapnya itu ‘ada udang di sebalik batu’ selepas beberapa hari dilantik menjadi Perdana Menteri kelapan.

“Saya hanya mengikut apa diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Apabila mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen, saya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri. Maka sahlah pelantikan saya itu.

“Selepas itu barulah saya sedar bahawa sokongan mereka itu sebenarnya ibarat pepatah ada udang di sebalik batu. Selang beberapa hari selepas dilantik menjadi Perdana Menteri, kluster mahkamah ini berjumpa saya meminta saya campur tangan dalam kes mereka supaya mereka dibebaskan,” katanya.

Jelas Muhyiddin, beliau konsisten untuk tidak memenuhi tuntutan kluster mahkamah walaupun menyedari kedudukan sokongan terhadapnya menjadi rapuh.

“Walaupun saya tahu kedudukan saya sebagai Perdana Menteri bergantung kepada sokongan mereka, saya katakan tidak kepada mereka kerana saya tidak mahu mengkhianati sumpah dan amanah jawatan saya sebagai Perdana Menteri.

“Saya tidak sanggup menggadai prinsip perjuangan saya dan asas perjuangan parti saya semata-mata kerana mahu kekal berkuasa.

“Saya juga tidak melantik sesiapa pun yang sedang didakwa di mahkamah atau sedang dalam siasatan pihak berkuasa untuk menjadi anggota Kabinet walaupun mereka berjawatan tinggi dalam parti Umno.

“Saya buat perkara yang betul, jadi buat apa saya berasa malu?,” katanya. – Malaysiapost

1 Comment

  • Imijajan

    ia ko din? jange duk belawok sangat gak…sejarah tak pernah lupa din..

Komen