Anwar kemukakan usul bincang pembongkaran skandal 1MDB

Anwar kemukakan usul bincang pembongkaran skandal 1MDB

KETUA pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi membincangkan berkenaan pembongkaran amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewangan institusi khasnya Bank Negara (BNM) berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Anwar berkata, usul yang dikemukakan kepada Datuk Azhar Azizan Harun itu dibuat bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Melalui kenyataan usul yang ditunjukkan Ahli Parlimen Port Dickson adalah seperti berikut:

Bahawa Dewan yang bersidang pada hari ini membincangkan pembongkaran melalui keterangan mantan Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara, Tim Leissner di Mahkamah Amerika Syarikat mengenai amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan institusi Malaysia khasnya Bank Negara Malaysia berentetan daripada skandal 1Malaysia 1MDB.

Ini adalah perkara yang memerlukan perhatian dan perbahasan terperinci serta menyeluruh di Dewan Rakyat kerana melibatkan kepentingan orang ramai.

Ia juga perlu disegerakan kerana pembongkaran kes terkini terdedah ke peringkat antarabangsa dan memerlukan penjelasan segera kerajaan berikutan kegagalan agensi penguatkuasa negara khasnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan, menyiasat dan mendakwa mana-mana warganegara Malaysia jika terbabit dalam apa-apa kesalahan transaksi kewangan tersebut.

Sehubungan itu, beliau berharap usul berkenaan mendapat pertimbangan sewajarnya dari Yang di-Pertua Dewan Rakyat. – Malaysiapost

Komen