Taikun cuba halang Najib berkempen di Johor

Taikun cuba halang Najib berkempen di Johor

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa taikun perniagaan Tan Sri Lee Kim Yew cuba menghalang beliau berkempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), mendakwa rakan niaga kepada Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi tujuan itu.

“Taikun merangkap rakan niaga Atok (Dr Mahathir) tulis surat kepada SPR untuk minta SPR larang saya dari berkempen di Johor sebab dia kata ianya melanggar pengajaran Islam.

“Lalu dia mengaku dia ahli parti MCA tapi minggu lepas dia kempen bersama Atok di Johor pulak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu turut memuat naik surat yang dikatakan dihantar kepada Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh yang bertarikh semalam.

Berdasarkan kandungan surat berkenaan, ahli perniagaan terbabit berkata slogan “Malu Apa Bossku” bertentangan dengan ‘ajaran Islam’ dan perlu dihentikan kerana Najib sudah disabitkan kesalahan jenayah.

“Jika semua rakyat Malaysia belajar untuk menjadi ‘tak malu’ seperti beliau, maka apa gunanya mengadakan pilihan raya? Apakah jenis bakat atau pemimpin yang dipersiapkan SPR untuk negara?” antara kandungan surat berkenaan.

Kim Yew baru-baru ini turut dilihat berkempen dalam PRN Johor bersama Dr Mahathir di Ayer Hitam.

Kandungan surat berkenaan turut meminta SPR tidak membenarkan tagline “Malu Apa Bossku?” dalam mana-mana pilihan raya. – Malaysiapost

1 Comment

Komen