PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan beliau tidak pernah memohon untuk berjumpa Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jun 2018, seperti dilaporkan media baru-baru ini.
Sebaliknya, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata pertemuan tersebut dibuat susulan jemputan dari pihak Dr Mahathir melalui wakilnya.
Malah katanya, Dr Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri ketujuh, sanggup mengosongkan jadualnya untuk memberi laluan kepada pertemuan tersebut.
“Semasa perjumpaan itu, saya belum disiasat dan dikenakan sebarang pertuduhan. Jadi, tidak munasabah untuk saya pergi berjumpa dengan Tun Mahathir waktu itu dengan niat untuk minta dilepas pertuduhan. Sedangkan tiada sebarang pertuduhan pun ke atas saya pada masa tersebut.
“Dalam semua keadaan dan pertemuan, yang berlaku adalah mendesak saya agar membubarkan Umno dan memaksa semua Ahli Parlimen dan pemimpin Umno untuk menyertai Bersatu. Hal ini kerana kedudukan Bersatu sangat lemah dan rapuh dalam Pakatan Harapan (PH).
“Desakan dan paksaan tersebut saya tolak dengan tegas. Selagi nyawa dikandung hayat saya terus pertahankan Umno dan saya tahu Tun Mahathir tidak akan berdiam diri kerana saya tetap terus mempertahan Umno dan menolak permintaannya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Ahmad Zahid turut berkongsi satu klip video penjelasan oleh bekas Pengasas dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Hamidah Osman berhubung apa yang berlaku dalam pertemuan tersebut.
Menurut Ahmad Zahid, paling penting klip tersebut adalah penjelasan dari individu yang pernah rapat dan merupakan bekas orang kanan Dr Mahathir sendiri.
“Saya harap, masyarakat di luar sana akan mendengar dan melihat kebenaran ini dan tidak membiarkan kita terus dipermain dengan fitnah dan sandiwara mereka yang tidak senang dengan Umno, mereka yang mahu terus menggenggam kuasa dan mereka yang gagal membunuh Umno.
Fitnah tetap fitnah. Kebenaran akan muncul juga. Marilah kita bersama-sama kalahkan musuh Umno dalam PRN Johor dan PRU akan datang,” katanya.
Pada 22 Februari lalu, Dr Mahathir mendakwa Ahmad Zahid pernah bertemunya meminta supaya siasatan kes rasuah dihadapi Presiden Umno itu dihentikan.
Dr Mahathir mendakwa, pertemuan itu berlaku ketika ada ura-ura beliau akan menjadi Perdana Menteri dan ketika itu Ahmad Zahid mahu siasatan yang sedang dijalankan terhadapnya dihentikan.
“Ahmad Zahid datang ke rumah saya bersama dua tiga orang lagi dan dia cuba nak berbaik-baik dengan saya.
“Pada masa itu, ada kemungkinan saya menjadi Perdana Menteri, atas sebab itu dia ingin berbaik dengan saya,” katanya. – Malaysiapost