Luar biasa sekali, kata Najib

Luar biasa sekali, kata Najib

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Johor dengan majoriti dua pertiga sebagai sesuatu yang luar biasa.

“Luar biasa. Luar biasa sekali. Bukan sekadar isyarat. Bukan sekadar mesej. Ini suara rakyat yang jelas dan lantang. Ini referendum rakyat. Ini pilihan rakyat.

“Rakyat mahu Kestabilan Masa Depan. Rakyat mahu kemakmuran dan pembangunan. Tidak ada kerajaan yang boleh meneruskan pentadbirannya tanpa majoriti yang jelas.

“Di Johor, ketidakstabilan timbul selepas pemergian arwah Datuk Osman Sapian yang menyebabkan kerajaan Johor menghadapi situasi tergantung di DUN,” tulisnya di Facebook.

Ahli Parlimen Pekan itu menambah, Johor perlu mengakhiri kemelut politik dan perlu sebuah kerajaan kukuh dengan majoriti jelas dan bagi BN ia perlu dilaksanakan melalui peti undi bagi mendapatkan semula mandat rakyat.

Inilah prinsip dan sistem demokrasi. Sepanjang dua minggu ini, BN berkempen dengan dua mesej sahaja kepada pengundi dan rakyat Johor. Pertamanya, pilih kestabilan. Undilah calon, undilah parti yang diyakini akan dapat memimpin Johor dan membentuk kerajaan.

“Tidak ada gunanya jika kita berpecah-pecah lagi dan berbalik kepada sebuah kerajaan yang tidak stabil. Keduanya, pilih kemakmuran. Ekonomi Johor telah mengalami kemerosotan dalam hampir kesemua aspek sejak 2018.

“Pertumbuhan ekonomi? Jatuh. Pelaburan? Jatuh. Pembangunan? Jatuh. Johor antara negeri berprestasi tinggi satu ketika dahulu dan sudah tentu rakyat Johor sendiri dapat membuat perbandingan,” katanya.

Menurutnya, berbeza pula dengan kempen parti-parti lawan yang sentiasa menyebut namanya.

Cameron Highlands? Modal kempen mereka lawan Najib. Semenyih? Najib. Rantau? Najib. Tanjung Piai? Najib. Kimanis? Najib. Chini? Najib. Slim? Najib. Melaka? Najib. Johor? Najib.

“Tetapi langsung kita tidak dengar rancangan dan halatuju pembangunan mereka. Mungkin kerana mereka tahu mereka sudah tidak ada kredibiliti. Akhirnya, rakyat membuat penilaian. Rakyat pilih BN,” katanya lagi. – Malaysiapost

Komen