Anwar ucap tahniah kepada BN, terima kekalahan PKR

Anwar ucap tahniah kepada BN, terima kekalahan PKR

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) kerana berjaya membentuk kerajaan negeri di Johor.

Anwar berkata, PKR juga akur dengan kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam.

“Tahniah kepada Barisan Nasional atas kejayaan membentuk kerajaan negeri di Johor.

“PKR akur dengan keputusan yang dibuat rakyat Johor,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook.

Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan kebimbangan dengan trend peratusan keluar mengundi yang amat mendukacitakan sekali gus mampu mengugat proses demokrasi.

“Penghargaan saya buat semua pendukung dan jentera PKR serta PH yang berhempas pulas menggerakkan kempen sepanjang berlangsungnya PRN ini.

“Keputusan ini juga ternyata suatu peringatan penting buat parti-parti politik untuk kembali merangkul kekuatan bagi mendepani pilihan raya umum kelak,” katanya.

PKR yang bertanding menggunakan logo sendiri pada PRN Johor semalam, menerima tamparan hebat selepas hanya menang satu kerusi iaitu di DUN Bukit Batu. – Malaysiapost

Komen