“Jangan perangai terlebih sudu dari kuah” – Mohd Neezam

“Jangan perangai terlebih sudu dari kuah” – Mohd Neezam

PEMUDA Umno Bahagian Pandan kesal dengan sikap segelintir penyokong Barisan Nasional (BN) yang disifatkan tidak beradab terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri ketika ketibaannya di Dewan Perhubungan Umno Negeri, Johor Bahru semalam.

Ketuanya, Mohd Neezam Abdul Aziz berkata, akibat daripada insiden berkenaan, menjadikan kemenangan BN di Johor sedikit tercalar.

“Hal ini jelas bercanggah dengan budaya Umno. Parti keramat ini dibina atas rasa hormat dan patuh kepada pemimpin.

“Jangan sesekali cuba untuk mengeruhkan permuafakatan parti dengan budaya tidak beradab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusan berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 tertakluk kepada perbincangan pemimpin tertinggi Umno termasuklah Ismail Sabri sendiri selaku Naib Presiden Umno dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Maka di peringkat akar umbi, janganlah berperangai terlebih sudu dari kuah. Hormati peranan dan keputusan pemimpin tertinggi Umno berhubung apa-apa jua isu.

“Umno mengangkat prinsip demokrasi dan turut mengambil kira suara akar umbi sebelum membuat sebarang keputusan.

“Justeru itu, gunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan anda,” katanya. – Malaysiapost

Komen