Kemenangan di DUN Puteri Wangsa, permulaan perjuangan MUDA

Kemenangan di DUN Puteri Wangsa, permulaan perjuangan MUDA

“TERIMA kasih kepada anak Johor kerana memberi peluang untuk MUDA bertanding. Menang atau kalah, politik khidmat tetap akan diteruskan,” kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau yang juga Presiden MUDA, berkata kemenangan sulung parti itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam, menjadi titik permulaan untuk parti berjuang dalam arena politik negara.

Beliau berkata, MUDA akan menjadi pembangkang berkualiti dengan meneruskan politik khidmat di enam DUN yang kalah.

“Teruskan bekerja di kawasan kalah, ini tanggungjawab kita kepada pengundi. Muda perlu menjadi pembangkang yang padu dan berkualiti serta berkhidmat dengan baik.

“Ini adalah permulaan bagi MUDA. Dengan kemenangan ini, MUDA ada ‘track record’ berkhidmat untuk bertapak bukan saja pada pilihan raya ini tetapi juga pilihan raya akan datang.

“Terima kasih kerana memberi peluang kepada Setiausaha MUDA yang juga calon DUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz sehingga berjaya menang majoriti.

Amira Aisya

“Sudah pasti bukan mudah untuk MUDA, sebuah parti baharu dalam tempoh dua bulan, parti ‘underdog’ dan menggunakan bendera sendiri yang baru disebarkan. Namun pada masa depan, kita perlu bekerja lebih baik dan lebih kuat.

“MUDA akan berkhidmat sebaik mungkin, membawa politik baharu di Johor dan Malaysia keseluruhannya. MUDA memberi saingan sengit seperti di DUN Permai dan DUN Tenang dengan 30 hingga 35 peratus,” katanya.

Sementara itu, bagi Amira Aisya, kemenangannya adalah terjemahan kepada kemenangan MUDA.

Beliau berkata, perjuangan bukan perkara indah kerana berjuang atas parti baharu adalah sesuatu yang sukar.

“Namun, MUDA berjaya meraih kepercayaan rakyat. Tujuan utama saya masuk pilihan raya bukan untuk menang tetapi untuk berkhidmat. Ini adalah permulaan buat saya di Puteri Wangsa.

“Saya bukan saja melihat kawasan Puteri Wangsa tetapi apabila melihat prestasi rakan-rakan bertanding di DUN yang lain, saya rasa bangga sebab kerusi ini bukan kerusi yang mudah,” katanya.

Amira Aisya memenangi kerusi DUN Puteri Wangsa dengan majoriti 7,114 undi dalam pertandingan enam penjuru pada PRN Johor, semalam. – Malaysiapost

Komen