Pas tersungkur di PRN Johor

Pas tersungkur di PRN Johor

PERIKATAN Nasional (PN) mendapat tamparan hebat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini terutama bagi parti gabungannya Pas yang tewas di semua kerusi ditandingi.

Pas tewas di kesemua 15 kerusi yang ditandingi termasuk di satu-satunya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang sebelum ini iaitu di DUN Bukit Pasir.

Kerusi DUN Bukit Pasir sebelum ini dimenangi calon Pas, Najib Lep dengan mendapat 9,835 undian pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Noriah Mahat dengan majoriti 1,883 undian.

Bagaimanapun dalam PRN Johor kali ini, calon Pas yang juga Ketua Pemuda Pas Kawasan Pagoh, Mohd Nor Iqbal Razak tewas kepada calon BN Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh sebentar tadi mengumumkan BN memenangi PRN Johor sekaligus berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memperolehi 29 kerusi DUN. – Malaysiapost

Komen